Keistimewaan Ismail sebagai pakar ekonomi
YB Senator Prof Datuk Dr. Ismail Md. Salleh meninggal dunia semalam. Penulis sempat bercakap di telefon dengan Dr. Wan Ali Wan Mamat bekas Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia yang juga jiran Allahyarham tentang kematian mengejut beliau.
Menurut Wan Ali, arwah menghembuskan nafas terakhirnya di bahu isterinya ketika dalam penerbangan pulang dari China ke Singapura pagi semalam. Beliau meninggal pada usia 62 tahun.
Allahyarham Ismail telah meninggalkan pelbagai rekod yang sungguh cemerlang sepanjang kerjayanya sebagai seorang ahli akademik dan pakar ekonomi.
Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Twintech Holdings dan menjadi Naib Canselor, Twintech International University College dan Pengerusi PPP Resource & Advisory Centre.
Guinness Book of Record mencatatkan beliau sebagai orang cacat penglihatan yang pertama memperoleh ijazah kedoktoran. Dua tahun lalu Ismail dilantik pula sebagai Senator di Dewan Negara bagi mewakili golongan kurang upaya. Selain itu beliau juga menjadi Pengerusi East Asia, International Council for the Education of the People With Visual Impairment (ICEVI).Sebagai mengiktiraf kepakaran dan sumbangan besarnya dalam bidang ekonomi, Ismail dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Irish International University. Sejak tahun 2000, Prof Dr. Ismail juga menjadi Profesor Ajung di Universiti Utara Malaysia. Pada 1993 beliau menerima anugerah Johan Setia Mahkota (JSM) daripada Yang di-Pertuan Agong dan Pingat Kepujian Tertinggi daripada kerajaan negeri Pulau Pinang. Gelaran Datuk diperolehnya pada 2001 daripada Yang di-Pertuan Agong.
Ulasan Hujan emas :
Negara kehilangan seorang pejuang pendidikan dan ekonomi iaitu Allahyarham Datuk Prof Dr Ismail Salleh. Seorang tokoh bukan sahaja dihormati oleh rakyat Malaysia bahkan banyak Negara mengenali dan mengkagumi kebolehannya.
Allahyarham menggunakan kelebihannya yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada sesiapa saja tak kira bangsa dan agama dan apabila dilantik sebagai Senator, beliau tetap tidak lupa membela warga yang senasib dengannya.
Inilah seorang tokoh yang tidak seperti orang lain tapi mempunyai budi dan niat yang cukup murni bagi membantu yang memerlukan.
Jangan sesekali kita salah gunakan kelebihan yang ada pada kita, sumbangkanlah secara ikhlas.
Kalau berkebolehan dalam bidang agama,kita gunakan untuk mendakwah kejalan ALLAH SWT,jangan sesekali kita gunakan ilmu agama kita untuk kepentingan peribadi dan memesongkan orang lain.
Kalau kita ada kepakaran dalam bidang kedoktoran,kita gunakan untuk membantu dengan sejujurnya dan jangan sesekali kita mengambil kesempatan dengan jalan yang tidak baik.
Kalau kita menjadi seorang Peguam, jadi seorang pembela kepada yang sepatut dibela dan ditolong,jangan sesekali kita gunakan kelebihan itu dengan jalan yang salah.
OLEH ITU, KITA SAMA-SAMALAH MENJADIKAN ALLAHYARHAM DATUK PROF DR ISMAIL SALEH INI SEBAGAI CONTOH YANG TERBAIK UNTUK KITA BANGUNKAN BANGSA, AGAMA DAN NEGARA KITA, SEMUGA APA YANG KITA LAKUKAN MENDAPAT KEBERKATAN DARI ALLAH SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan